Melombong Pelangi dengan PRIDE

Babak akhir dalam Pride (2014)

Punggung dilabuhkan pada sofa empuk. Lampu sudah tersedia malap. Ruang tamu itu panas sedikit, mungkin kerana aku belum mandi. Mereka yang lain sudah mengambil tempat masing-masing - ada di sofa sepertiku, ada yang berbaring di beanie bag. Yang kurang cuma ketiadaan bertih jagung sebagai kudapan, tapi tak mengapalah. Cahaya dari projektor sudah memancar pada dinding. Cerita bermula dan aku terus hanyut dengan perjuangan LGSM (Lesbians and Gays Support the Miner) menuntut hak golongan minoriti dari awal hingga habis. 

Permulaan filem Pride (2014), arahan Mathhew Warchus, menunjukkan Mark (Ben Schnetzer) yang sedang khusyuk mendengar temuramah Margaret Thatcher, Perdana Menteri Britain ketika itu, yang memberi komen akan mogok yang dilakukan oleh para pelombong yang membantah keputusan Britain untuk menghentikan industri batu arang. Dalam temuramah itu, Thatcher ada menyebut, "We are here to be a good firm leader," dan kemudian shot dialihkan pada wajah Mark yang tersenyum dengan penuh makna.

Mark kemudiannya mengetuai gerakan LGSM untuk mengutip dana bagi membantu pekerja-pekerja pelombong yang ketiadaan kerja. Kedai buku Gay's the Word (kedai buku ini masih ada di London, kalau tak silap) menyaksikan Mark dan rakan-rakannya memegang sebuah baldi, sambil berulang-ulang melaungkan "Lesbians and gays support the miners!" Kadang-kala duit diterima, dan di hari lain pula cuma ludah diberi orang. Mark masih berkeras untuk mencari dana kerana selain golongan gay, para pelombong pun dilayan dengan teruk oleh media-media di Britain.

"If anybody know what this treatment feels like," kata Mark, "it's us."

Kedegilan Mark untuk menolong para pelombong ini (kerana dalam masa yang sama, pelombong-pelombong inilah antara orang yang meludah ke arah mereka) memeningkan kepala rakannya yang lain, namun, mereka masih setia menolongnya. Saat aku melihat semangat Mark yang berkobar-kobar mahu membantu pelombong, sejujurnya buat aku cemburu. Dia sepertinya sudah tahu dengan jelas apa yang mahu dia perjuangkan, dan tak seperti orang lain (terutamanya aku) yang masih tercari-cari lagi apa yang patut diperjuangkan. Kalau ada yang tahu apa yang nak diperjuangkan pun, mereka cuma acuh tak acuh saja ingin melakukan perubahan dan lama-lama semangat perjuangan itu pun lenyap (mungkin kerana terlalu selesa) dan tiada perubahan pun yang dibuat.

Antara watak lain yang menarik minat aku ialah Joe (George Mackay), seorang closeted gay yang entah bagaimana terlibat dengan perjuangan LGSM secara tidak sengaja (atau sebenarnya disengajakan?). "I don't want to be too visible," ayat keramat yang diucapkannya dalam babak awal filem, dan kemudiannya penonton dapat melihat perkembangan wataknya yang perlahan-lahan berubah daripada seorang yang senyap dan malu-malu mahu memegang sepanduk yang terang-terang tertulis queer kepada seorang yang sangat lantang (selepas peristiwa come outnya pada keluarga secara tak sengaja) dan menjadi antara orang kuat dalam LGSM. Frasa "Lesbians and gays support the miners!" dilaungkan dengan kuat dengan senyuman yang tertampal di wajah. Lencana pin yang tertulis "I am (discreetly) gay" yang diberi Mark dipinkan pada baju secara terang-terangan. Ya, aku memang suka dengan perkembangan watak Joe, kerana jujurnya aku seperti dia, seorang yang senyap dan sangat reserved. Harapnya, satu hari nanti, aku tahu apa yang patut aku perjuangkan dan perlahan-lahan mengalami proses metamorfosis menjadi seorang aku yang baru.

Oh, aku lupa. Selepas mendengar temuramah Thatcher, Mark mengumpul seberapa banyak baldi yang dia jumpa di rumahnya dan melangkah dengan yakin - bersama jaket kulit hitam dengan rambut yang disikat rapi, gaya tipikalnya - menuju ke tempat rakan-rakannya yang sedang berarak (ada gay parade pada masa itu). Dalam satu syot, Warchus seperti sengaja menyuruh Mark berjalan dari kiri ke kanan frame dilatari sebuah tembok dinding yang tinggi, dan huruf P-R-I-D-E keluar satu-persatu dan melengkapkan tajuk filem ini. Dalam bahasa filem, jika karakter itu berjalan dari kiri ke kanan frame, ia menunjukkan karakter tersebut bakal melalui konflik, dan konfliklah yang Mark dan rakan-rakannya lalui.

Antara kejutan yang aku lalui ialah tatkala aku melihat wajah Imelda Staunton (yang sangat dikenali dengan watak Dolores Umbridge dalam siri filem Harry Potter) di skrin yang melakonkan watak Hefina, antara golongan pelombong yang menyokong gerakan LGSM di Dalais Valley yang terletak di South Wales. Watak Hefina membuatkan Staunton merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di British Independent Film Awards.

Filem ini telah berjaya buat aku ketawa (tatkala Hefina dan beberapa rakan wanitanya terjumpa  sebuah/sebatang dildo di bilik milik seorang gay yang mereka tumpang tidur tatkala mereka datang melawat London), buat aku menangis (tatkala ibu bapa Joe dapat tahu dia ialah gay), buat aku marah (tatkala Maureen, yang dilakonkan oleh Lisa Palfrey, mensabotaj sesi pengundian sama ada patutkah LGSM terus mencari dana untuk pelombong-pelombong di Dalais Valley ataupun tidak), dan bermacam rasa lagi yang aku lalui.

Pride bukan filem untuk orang gay sahaja. Pride ialah filem untuk semua, agar kita dapat lihat yang mereka ini sama saja manusia seperti kita, cuma berbeza naluri. Aku sangat sarankan semua untuk menonton filem ini dan menangislah bersama-sama aku tatkala kau menonton credit scene di akhir filem ini.

Lesbians and gays support the miners!

Comments

Popular Posts